Bulan Rejab:
Apakah fadhilatnya melebihi dari bulan-bulan yg lain? Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam dimana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad SAW. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual dimana mereka mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa.
Tarikan dan seruan yg ditiup kedalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadat kebanyakkannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadith-hadith yg mengandungi fadhilat-fadhilat beribadat didalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku-buku kecil yg mengandungi fadhilat-fadhilat bulan Islam begitu laris dipasaran menjelang bulan Rejab. Begitu juga dizaman era Internet ini (ICT), e-mail dan maling list yg di forwardkan mengandungi 'cut & paste' dari fadilat-fadilat Rejab yg terkandung didalamnya. Rata-rata tarikan fadhil (fadhilat-fadhilat) inilah merupakan faktor penarik kepada kebiasaan orang awam untuk melakukan ibadat sunat. Injeksi faktor ini dapat kita lihat dengan jelas penerapannya didalam budaya Melayu-Islam seperti rangkap-rangkap sya'ir dibawah ini: [1]
Rejab bulan menabur benih. Sya'ban bulan menyiram tanaman. Ramadan bulan menuai.
Rejab menyuci badannya. Sya'ban menyucikan hati. Ramadan menyucikan rohnya.
Rejab bulan marghfirah. Sya'ban bulan syafaat. Ramadan bulan menggandakan kebajikan.
Rejab bulan taubat. Sya'ban bulan muhibbah. Ramadan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya.
Rejab digandakan 70 pahala. Sya'ban diganda 700 pahala. Ramadan diganda 1000 pahala.
Mungkin timbul beberapa persoalan yg tersimpan didalam lubuk hati kita:- mengapa bulan Rejab sahaja yg dipilih mempunyai kelebihannya? Pernah atau tidak kita terfikir yg mungkin berita-berita ini ditokok tambah (exaggerate) oleh manusia biasa yg bercakap atas nama Nabi Muhammad SAW? Mengapa didalam bulan ini terdapat solat-solat khas, zikir-zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan peribadatan? Disini kita ingin membawa beberapa penjelasan dari ulama'-ulama' muktabar dan kontemporari mengenai kesahihan fadhilat yg terdapat didalam bulan itu sendiri, dan apakah sebenarnya fadhilat yg terkandung didalam Rejab.
Bulan Rejab merupakan satu bulan dari bulan-bulan 'Haram' didalam Islam. Dalilnya terdapat didalam Firman Allah SWT didalam Surah At-Taubah ayat 9:
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa."
Menurut Tafsir Jalalain, yg dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yg di hormati" ialah: "Empat bulan Haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab" [2]
Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama' ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut. Di dalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji dijalankan (Zulhijjah), dimana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yg tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa. Rasulullah SAW juga menggalakan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura' (10 hb Muharam).
Apakah terdapatnya kesahihan fadhilat khas berpuasa di dalam bulan Rejab?
Disini dinyatakan pandangan para ulama' mengenai kesahihan fadilat Rejab.
1. Sheikh Atiyah Al-Saqr.
Kebanyakkan fadhilat Rejab terkandung di dalam Hadith yg sangat Lemah dan Palsu.
Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadhilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yg sahih dan beliau melihat bahawa hadith-hadith yg didatangkan mengenai fadhilat didalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu, katanya: [3]
"Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberi fadhilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yg qath'i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta keatas Nabi Muhammad SAW, dan banyak hadith-hadith timbul mengenai fadhilat bulan Rejab, dimana statusnya antara Dha'if dan Mawdhu', dan tidak thabit dari pembawanya (naqal)."
Menurut Al-Saqr lagi bahawa:
"Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan di dalam risalahnya dengan topiknya: Penjelasan yg datang di dalam Fadhilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadith menyebut mengenai Fadhilat-Fadhilat Rejab, Puasa dan Solat didalamnya. Ia dikelaskan sebagai Lemah dan Mawdhu"
B. Fadhilat Rejab berada bersama dengan Fadhilat bulan-bulan haram yg lain.
Fadhilat Rejab secara umumnya berada didalam Fadhilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah : 36 dan terdapat juga Hadith Sahihin mengenai Hijatul Wada', di dalamnya dinyatakan nama bulan-bulan tersebut, iaitu : Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yg tunggal ialah Rejab. Dimasa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah SWT.
C. Berpuasa hari pertama atau yg lain sama sahaja fadhilatnya.
Berkata Al-Saqr lagi bahawa:
"Amalan Saleh didalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya di dalam bulan-bulan Haram, yg didalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir. Berkata Ibnu Hajar: "Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadith mengenai fadhilat khas berpuasa, tidak terdapat yg Sahih atau Hasan".
Beliau memetik beberapa hadith da'if dan palsu, diantaranya ialah:
i."Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu" - hadith ini Dha'if.
ii."Barangsiapa berpuasa sehari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yg berpuasa didalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan" - hadith ini Dhaif.
iii. Terdapat sebuah hadith yg panjang mengandungi fadhilat berpuasa Rejab menurut hari, dan
di dalamnya terkandung matan: "Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku" - Hadith ini palsu.
D. Tidak ada solat khas di dalam Rejab.
Daripada Hadith yg tidak diterima (ghair maqbulah) mengenai solat:
"Barangsiapa yg solat Maghrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab." - Itu adalah hadis Mawdhu'
E. Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya:
Mengenai fadhilat menziarah kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah Al-Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya didalam Islam. Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah-sejarah yg berlaku dibulan Rejab dan mengambil tauladan daripadanya. "Ini adalah manusia yg prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama didalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya di dalam agama, dan ganjaran yg besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini. Adalah lebih aula di dalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yg berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mengingati Salahuddin Al-Ayobi menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M). Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita mengingatkan kembali peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu pengajaran darinya, dimana orang Islam menganggapnya berlaku didalam bulan Rejab. Allah yg Maha Mengetahui."
2] Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.
Fadhilat Rejab sama dengan fadilat bulan-bulan haram yg lain.
Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa fadhilat Rejab adalah sama seperti yg terdapat didalam 3 bulan-bulan Haram yg lain. Katanya [4]:
"tidaklah ada kesahihan di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu dari bulan-bulan haram, bahawa Allah SWT telah menyebut di dalam kitabnya - di dalamnya ada 4 bulan haram - At-Taubah : 36. Iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram.... Itulah bulan-bulan yg mempunyai fadhilat. Tidak terdapat Hadis Sahih bahawa Rejab khusus mengatakan Rejab lebih afdhal, melainkan Hadith Hasan: Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa didalam Sya'ban.."
B. Hadith-Hadith mengenai fadhilat Rejab kebanyakannya lemah dan palsu.
Beliau juga menyatakan bahawa hadith-hadith mengenai fadhilat-fadhilat khas Rejab kebanyakan merupakan Hadith Palsu atau pun yang sangat Lemah tarafnya:
Hadith ini dimaklumkan sebagai sebuah hadith yg mengandungi fadhilat Rejab - "Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku"..... Hadis ini mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama' mengatakan hadith ini Palsu!.... yakni penipu.. Maka bukanlah kepadanya nilai saintifik dan bukanlah mempunyai nilai agama. Di situ ada hadith yg mengatakan terdapat Fadhilat Rejab kepada sesiapa yg bersolat begini dan ia mendapat begini, dan sesiapa yg meminta beristigfar sekali kepadanya maka ia akan mendapat ganjaran begini.... Ini semua adalah berlebih-lebihan (exaggeration), dan semuanya adalah pembohongan. Dari ini satu tanda satu penipuan didalam Hadith yg memasukkan perkara yg berlebih-lebihan....
C. Ganjaran yg dijanjikan tidak sepadan dengan amalannya. Pada beliau ganjaran-ganjaran yg dinyatakan di dalam Hadith Palsu itu adalah sesuatu yg berlebih-lebihan. Ini merupakan satu pendustaan yg amat besar. Menurut beliau ganjaran sesuatu ibadat itu mestilah setimpal dengan bentuk ibadat itu sendiri. Katanya:
"Berkata ulama' : Janji untuk mendapatkan ganjaran yg besar diatas perkara yg biasa, atau ugutan kepada azab yg pedih keatas dosa kecil? Ia menunjukkan bahawa ini merupakan Hadis yg bohong."
D. Umat Islam perlu mengetahui jenis-jenis hadith yg Palsu
Dr Yusuf Qardhawi menyatakan bahawa sebagai seorang Islam kita wajib mengetahui mengenai hadith yg diberikan kepada kita. Tidak ada alasan yg boleh kita berikan kerana terdapatnya buku-buku yg banyak dipasaran mengenai taraf sesuatu hadith. Kata beliau:
"Ulama' telah memberi amaran contohnya ke atas Hadith Palsu dan Bohong ini, dan melarang manusia terhadapnya... sesungguhnya telah datang hadith:
"Barangsiapa mereka-reka Hadith difikirkan, sesungguhnya ia menipu, maka dia adalah pembohong..." (Riwayat Muslim didalam muqadimahnya yg Sahih), tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah Hadith Palsu, maka ia wajib mengetahui, mengetahui hadith itu dari sumbernya.... maka disana ada Kitab Hadith yg Muktamad, di sana ada kitab khas untuk mengetahui Hadith Palsu, contoh Al-Maqasid Al-Hasanah, karangan Al-Shakhaawi dsb..."
3] Ibnu Hajar Al-Asqalani
Ibnu Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan. Kenyataan ini dapat dilihat di dalam fatwa Shiekh Al-Saqr[5] mengenai fadhilat Rejab dengan memetik kata-kata Ibnu Hajar:
"Ibnu Hajar di dalam makalahnya ada menyebut berkenaan dengan terdapat hadith-hadith yg melarang berpuasa Rejab sepenuhnya, maka beliau berkata : Larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yg berpuasa memuliakan Jahiliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad (niat) yg bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yg dia berpuasa, atau pada malam tertentu dia berqiamullail, maka beliau percaya yg dilakukan itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yg baik atas apa yg diletakkan dan tidak mengapa baginya. Maka jika ianya di khaskan atau menjadi suatu ketetapan, maka ia adalah DITEGAH (Mahzhur), dan makna penegahan itu dialam hadith Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Jangan mengkhaskan hari Jumaat untuk berpuasa dan jangan [mengkhaskan] malamnya berqiamullail". - riwayat Muslim.
Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa lainnya yg di dalamnya terkandung puasa nazar, Ibnu hajar lebih cederung menegahnya, dan sebagaimana yg dinaqalkan oleh Abi Bakar At-Thorthorshi di dalam bukunya "Bid'ah wa hawadith" bahawa bulan Rejab dibenci olehnya kerana 3 jenis:
1. Sesungguhnya jika orang Islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan.
2. Menjadikan ia seperti kefardhuan Ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yg kekal.
3. Kerana puasa ini mempunyai fadhilat khas dan puasa-puasa yg lainnya kalau dengan itu apa yg dijelaskan oleh Rasulullah SAW, : berkata Ibnu Dihya :
"Puasa adalah amalan kebajikan"., Tidak terdapat fadilat berpuasa didalam Rejab maka perkara itu ditegah darinya. Tamat apa yg dinaqalkan oleh Ibnu Hajar."
4] Dr. Sayid Saabiq
Menurut seorang tokoh Ikhwan Dr Sayid Saabiq di dalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa: "Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yg berlebih dari bulan-bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yg haram".
Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadhilat-fadhilat yg sama. Pendapat juga di sokong oleh mazhab Hanbali yg mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh[6].
Hadith-hadith fadhilat Rejab yg palsu atau dhaif
Di bawah ini disenaraikan beberapa contoh hadith-hadith palsu berkenaan dengan fadhilat Rejab:[7]
a. Barang siapa yg mengerjakan solat Maghrib pada permulaan malam Rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al-Fatihah dan Qul Hu Allahhu Ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali dan dia memberi salam pada solat ini dengan 10 salam, maka tahukah kamu apa ganjaranya?
-Hadith ini Mawdhu' (palsu)
*Diriwayatkan oleh Al-Jauzaqanniy dari Anas, kemudian beliau berkata hadis ini adalah Palsu.
b. Barang siapa yg melakukan solat pada malam Nisfi Rejab 14 rakaat dengan membaca Alhamdu 1 kali pada rakaat, Qul Hu Allahhu Ahad 20 kali, Qul A'uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A'uuzu Birabbin Nas 3 kali kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat keatas ku 10 kali kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat.
-Hadith ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya terdapat beberapi Rawi yang majhul.
c. Barang siapa yg berpuasa sehari pada bulan Rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan.
-Hadith sangat Dhaif.
*Diriwayatkan oleh Al-Khathiib dari Abi Dzar.
*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama: Al-Furaat bin As-Saaib, dia adalah seorang rawi yg Matruk.
*Ibnu Hajar Al-Asqalaaniy telah menjelaskan bahawa para ahli hadith telah sepakat, bahawa hadith ini diriwayatkan dari jalan Al-Furaat bin As-Saaib, sedangkan rawi ini adalah seorang yg Dhaif.
d. Barang siapa yg berpuasa 3 hari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan dan barang siapa yg berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yg berpuasa separuh dari bulan Rejab maka dia akan dihisab dengan hisab yg mudah.
-Hadith ini Mawdhu' (palsu)
*Tidak disahkan hadith ini kerana rawi yg bernama Abaan merupakan rawi yg Matruk.
*Selain dari itu ada rawi yg bernama Amar bin Al-Azhar yg sangat suka memalsukan hadith.
e. Barang siapa yg berpuasa satu hari pada bulan Rejab dan bangun pada malam harinya mengerjakan solat malam maka Allah akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan aman, dan dia berjalan di atas sirat dalam keadaan Tahlil dan Takbir.
-Hadith ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama Ismaail, dia adalah seorang rawi yg suka berdusta.
f. Barang siapa yg menghidupkan satu malam dari bulan Rejab mengerjakan solat malam dan berpuasa padanya satu hari, maka Allah memberi makan kepadanya dari buah-buahan Syurga.
-Hadith ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam Kitab Al-Laaly dijelaskan bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Hussain bin Ali. Kemudian diterangkan bahawa hadith ini Mawdhu'.
Bagaimana beramal didalam bulan ini?
a. Shiekh Mahmud Al-Sya'rawi [8] di dalam menjawab satu pertanyaan mengenai apakan bulan dari bulan-bulan 'am yg afdhal manusia berpuasa selepas bulan Ramadan, beliau memetik hadith berikut diriwayatkan oleh Musnad Ahmad:
"Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW, katanya: Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadan? Maka Rasulullah SAW berkata: Jika aku berpuasa selepas Ramadan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari Taubat Allah SWT ke atas satu kaum, dan terdapat taubat di dalamnya untuk satu kaum yg lain"
Jelas disini menunjukkan bulan-bulan haram ini disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan Allah SWT di dalam bulan-bulan ini.
b. Bekas Mufti besar Arab Saudi, Shiekh Abdul Aziz Bin Baaz apabila ditanya berpuasa pada bulan-bulan haram, Beliau menjawab [9]:
"Bulan Muharam dari segi syara' dibolehkan berpuasa dengannya dan begitu juga Sya'ban, di sana terdapatnya 10 Zulhijjah, bukanlah ada dalil di sana keatasnya, akan tetapi berpuasa dengannya TANPA ber'itiqad yg khusus (khas) atau pribadi, maka tidaklah menjadi masalah."
Bagi bulan Allah Al-Haram tersebut, Rasulullah SAW pernah bersabda: "((Seafdal-adfal berpuasa selepas ramadan ialah dibulan Allah Al-Haram)). Maka adalah baik bagi berpuasa, atau berpuasalah pada 9, 10 dan 11, itulah yg baik, begitu juga dengan Sya'ban dimana Nabi SAW berpuasa dengannya"
c. Seorang Ulama' Islam dari negara Syria yg terkenal pada masa kini, Dr Wahbah Zuhaily mengatakan bahawa, kebanyakkan iman empat mazhab (Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat di dalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara implementasinya. kata Dr Wahbah Zuhaily[10]:
"Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat di sisi Mazhab Maliki dan Syafiie, dan mazhab Hanbali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa di bulan Haram, pada mereka itulah puasa yg afdhal selepas Ramadan, telah bersabda Rasulullah SAW : ((Seafdal solat ialah pertengahan malam, dan seafdal puasa selepas bulan Ramadan ialah di bulan Allah Al-Haram)). Seafdhal puasa dibulan haram ialah Hari As-Asyura', sebagaimana diantaranya. Dan berkata mazhab Hanafiah : Sunat berpuasa di dalam bulan-bulan Haram, iaitu berpuasa 3 hari dari semuanya iaitu :- Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu."
d. Shiekh Abdul Rahman Al-Jaziry didalam buku Kitab Fikh Empat Mazhab[11] juga memetik persetujuan 4 mazhab ini mengenai puasa dibulan-bulan haram, kata nya:
"Mengenai sunat berpuasa di bulan Rejab dan Sya'ban, Imam-imam ini telah bersetuju dengannya, cuma terdapat khilaf dengan Hanbali...
Hanbali : Menetapkan puasa Rejab (secara tunggal) adalah makruh, melainkan jika ia berbuka (tidak berpuasa) secara selang-seli, maka tidaklah Makruh."
e. Panelist fatwa IslamOnline, Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai apakah berpuasa didalam bulan Rejab itu sunat atau bid'ah, beliau telah menjawab [12]:
"Berpuasa di dalam bulan rejab adalah maqbul dan mustahab, ke atas semua perkara. Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah SAW bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan Ramadhan. Beliau banyak berpuasa di dalam bulan Sya'ban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah sunnah nabawiyyah... Beliau berpuasa dan berbuka disetiap bulan, seperti riwayat mengatakan: "Beliau berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, Beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa" - Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Maka beberapa golongan manusia berpuasa seluruh bulan Rejab, sebagaimana yg kita lihat sebelum ini, Aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal, dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh", selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yg ke 8 dari Syawal... Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling berhubungan, mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari A'id. INI TIDAK DATANG DARI NABI SAW, atau pun dari para sahabat atau pun dari Al-Salaf Al-Saleh... maka mereka berpuasa sehari dan berbuka sehari. Tidak ada berterusan di dalam puasa. Semua kebaikan adalah menurut Salaf dan keburukan adalah dari rekaan para Khalaf. Barangsiapa yg ingin ber'iitiba' dan inginkan ganjaran, maka ia harus mengikut Nabi Muhammad SAW di mana tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Rejab, dan tidak berpuasa sepenuhnya di dalam Sya'ban. Dan ini adalah yg lebih utama. Wa Billahi Tawfiq."
Beliau tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram, tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Sya'ban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW, atau sahabat-sahabatnya ataupun para ulama' Salaf.
Puasa-Puasa sunat yg lain
Syeikh Muhammad Mutawali Al-Sya'rawi di dalam fatwanya[13] menjawab persoalan mengenai puasa-puasa sunat, beliau telah menyenaraikan 8 jenis puasa yg beliau sifat sebagai :
"Puasa yg orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah"
Puasa-puasa sunat (suka rela!!!):
1. Hari Arafah (9 Zulhijjah kepada mereka yg tidak menunaikan Haji.
2. Hari Asyura', di situ ada hari 9 atau mana-mana hari 9 atau 10 Muharam.
3. 6 hari di dalam bulan Syawal.
4. Hari-hari Putih di dalam bulan-bulan Arab (islam) iaitu :- hari13, 14 dan 15.
5. Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis di dalam setiap minggu.
6. Berpuasa di dalam bulan-bulan haram iaitu :- Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
7. Berpuasa mana-mana dari 9 hari dari bulan Zulhijjah, dari 1 hingga 9 Zulhijjah.
8. Berpuasa penuh di dalam Sya'ban atau dengan banyaknya.
Para Fuqaha' berpendapat jika seseorang itu ingin melakukan puasa sunat, tetapi dia masih mempunyai baki puasa wajib, hendaklah ia mengqada'kannya. Bahkan jika ia mempunyai kifarat dan nazar, maka hendaklah dia melakukannya puasa itu dahulu.[14]
Kesimpulan:
1. Hadith-Hadith Bulan-Bulan Rejab kebanyakannya adalah Mawdhu' (Palsu). Pendustaan terhadap Rasulullah SAW. (Al-Saqr, Al Qardhawi)
2. Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yg tertentu sahaja untuk melakukan ibadat khusus.(Hadith Nabi Muhammad SAW)
3. Tidak ada fadhilat KHAS yg ditujukan pada bulan Rejab, yg ada cuma fadhilat umum kepada ke empat-empat bulan haram. (Al-Saqr, Al-Qardhawi)
4. Tidak ada solat dan zikir khas untuk bulan Rejab (Al-Saqr, Al-Qaradhawi).
5. Bulan Rejab seperti bulan-bulan Haram yg lain disunatkan melakukan Puasa sunat dan banyakkan bertaubat. ( Imam Al-Sya'rawi)
6. Keadah berpuasa di dalam bulan-bulan haram ialah:
- hari yg ke 9, 10, 11 di dalam bulan Muharam (Syeikh Abdul Aziz bin Bazz)
- berpuasa hari Khamis, Jumaat, Sabtu (HHanafiah - Al-Zuhaily)
- berpuasa pada bulan Rejab tidak sepenuhnya dan Sya'ban tidak sepenuh bulan (Al-Qardhawi)
- berpuasa pada hari Assyura' (10 Muharaam) dan Hari Arafah (9 Zulhijjah).
7. Rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yg lain, kecuali kelebihan sebagai bulan-bulan Haram.(Syed Sabiq)
8. Tidak boleh HANYA berpuasa di bulan Rejab sahaja, di mana 3 bulan-bulan yg Haram yg lain tidak langsung diberi keutamaan melakukan puasa (Mazhab Hanbali-Al-Jaziry)
9. Tidak ada dalil yg mengatakan bahawa menziarah kubur di dalam bulan Rejab mempunyai kelebihannya.
10. AWASIlah dari terlibat menyebarkan HADITH-HADITH PALSU, kerana ditakuti kita adalah sebahagian dari mereka yg MENDUSTAKAN Rasulullah SAW. (Na'uzubillahhu min zalik).
Dalam mempertingkat amalan-amalan kita kepada Allah SWT, sering kali kita disajikan dengan pelbagai-bagai amalan yg kelihatan banyak fadhilatnya. Malah ada juga kedapatan beberapa fadhilat-fadhilat yg sangat rapuh dalilnya, bahkan ia menjadi pegangan sebahagian umat Islam pada hari ini. Bagi persoalan-persoalan seperti fadhilat Rejab atau bulan-bulan yg lain, kita mesti kembali kepada 'role model' atau contoh kita, iaitu Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab ayat 21:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah SWT dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah SWT banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" [Al-Ahzab - 21].
Akhir kata, Selamat menyambut kedatangan bulan-bulan Haram sebagaimana yg telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Rujukan :
1] Budiman Radzi. Fadhilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar : Muzakkir Enterprise, 1990.
2] Tafsir Jalalain. Harf.com. URL : http://quran.al/-islam.com/arb/ Default.asp
3] Sheikh Atiyah Al-Saqr. Fatwa IslamOnline - Fadhilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249
4] Shiekh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Fatwa IslamOnline - kesahihan fadhilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1308
5] Sheikh Atiyah Al-Saqr. Fatwa IslamOnline - Fadhilat Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249
6] Sayyid Sabiq. Fikh Al-Sunnah. Beirut : Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995 (cetakan khas dari manar Al-Dauliyah) . ms 596.:
7] Prof. Madya Dr. Farid Ahmad Mohd Isa Jalil. Himpunan hadith-hadith lemah & palsu. Kuala Lumpur : Syarikat Nurulhas.
8]. Shiekh Mohammad Mutawali Al-Sya'rawi. Al-Fatawa. Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000. ms. 371.
9] Syiekh Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' Fatawa. Riyad : Dar Al-Watan, 1996 ms. 269.
10] Dr Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami Wa adillatuhu. Damsyik : Dar Al-Fikr, 1989. ms 591.
11] Abdul Rahman Al-Jaziry. Kitaabu Al-Fikhu a'la al-Mazaahibi Al-Arba'ah. Dar Al-Manar, 1999. ms 447-448
12] Shiekh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Fatwa IslamOnline - Puasa Rejab. URL : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1310
13] Sheikh Mohammad Mutawali Al-Sya'rawi. Al-Fatawa. Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000. ms 415
14] Dr Wahbah Zuhaily. Fikh Al-Islami Wa adillatuhu.Damsyik : Dar Al-Fikr, 1989. ms 595.
WALLAHU A'LAM BISSOWAB
DISUSUN SEMULA OLEH :USTAZ HAJI MOHD KHALID BIN HAJI ISA AN-NADWI
PEGAWAI AGAMA/KAUNSELOR
KUB MALAYSIA BERHAD



No comments:
Post a Comment
org sayang kat aku