Thursday, December 29, 2011

Iman dan Taqwa - Hukum bertaubat


Ulama mengatakan:

“Bertaubat dari segala perbuatan dosa adalah wajib. Apabila perbuatan dosa itu antara seorang hamba dan Allah SWT, tidak ada hubungannya dengan hak sesame manusia, ada tiga syarat iaitu:

i. Menghentikan perbuatan dosa itu.

ii. Menyesal atas perbuatannya itu.

iii. Berniat tidak akan kembali mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama- selamanya.

Apabila salah satu dari tiga persyaratan itu tidak terpenuhi maka taubatnya tidak sah. Apabila perbuatan dosa itu berhubungan dengan hak sesama manusia, maka harus memenuhi empat syarat iaitu tiga syarat seperti yang tersebut diatas ditambah dengan satu syarat iaitu harus menyelesaikan urusannya itu kepada yang bersangkutan.

Jika perkara itu berkaitan dengan harta atau yang seumpanya maka dia harus mengembalikannya. Jika perkara itu berkaitan dengan hudud atau qazaf dan yang seumpanya, maka harus dia harus meminta maaf. Dan jika perkara itu berkaitan dengan ghibah, maka dia harus minta dihalalkan.

Seseorang wajib bertaubat dari segala perbuatan dosa. Jika dia bertaubat hanya dari sebahagian dosa sahaja, taubatnya sah menurut Ahlul Haq, dan dosa yang diampuni hanya sebahagian dosanya yang dia minta ampunkan sahaja, sementara dosa yang lain masih tetap (tidak diampuni).

Banyak sekali ayat Al-Quran, As-Sunnah dan ijmak umat yang mewajibkan kita untuk segera bertaubat.

Allah SWT berfirman:

“ Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kau berjaya.

( An-Nur : 31)

Allah SWT berfirman:

“ Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya.”

( Hud: 3)

Allah SWT berfirman:

“ Wahai orang-orang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat semurni-murninya.”

( At-Tahrim: 8)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata : Saya mendengar Rasullah s.a.w. bersabda:

“ Demi Allah, sesungguhnya aku memohonkan pengampunan kepada Allah serta bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.” (H.R Bukhari)

Dari Al-Agharr bin Yasar Al-Muzani r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah pengampunan daripadaNya, kerana sesungguhnya aku sahaja pun bertaubat dalam sehari seratus kali.” (H.R. Muslim)

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik Al Anshari r.a., pelayan Rasullullah s.a.w berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“ Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada gembiranya seseorang dari kamu sekalian yang menemukan kembali unta-untanya yanga telah hilang di tengah-tengah padang sahara.”

( Muttafaqun a’laih )

Dalam riwayat Muslim disebutkan:

“ Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya ketika dia bertaubat kepadaNya daripada gembiranya seseorang dari kamu semua yang berkenderaan di suatu tanah yang luas, kemudian menghilanglah tunggangan atau kenderaannya itu dari dirinya, sedangkan di situ ada makanan dan minimannya. Orang tadi kemudian berputus asa. Kemudian dia mendatangi sebuah pohon terus tidur berbaring dibawah naungannya, sedang hatinya sudah berputus asa sama sekali dari kenderaannya tersebut. Tiba-tiba dikala dia berkeadaan sebagaimana di atas itu, kenderaannya itu Nampak berdiri di sisinya, kemudian dia mengambil ikatnya. Oleh sebab sangat gembiranya maka dia berkata:

“ Ya Allah Engkau adalah hambaku dan aku adalah TuhanMu.” Dia menjadi salah ucapannya kerana amat gembiranya.”

Dari Abu Musa Abdullah bin Qais Al Asy’ari r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda:

“ Sesungguhnya Allah Azza Wajalla selalu membentangkan tanganNya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat kesalahan di waktu siang dan juga membentangkan tanganNya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat kesalahan di waktu malam. Demikian ini terus menerus sampai terbit matahari dari arah barat.”

(H.R. Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“ Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari arah barat, maka Allah menerima taubat orang itu.”

(H.R. Muslim)

Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar bin Al –Khattab r.a., Rasulullah s.a.w. bersada:

“Sesungguhnya Allah Azza Wajalla akan menerima taubat seorang hamba selama ruhnya belum sampai di kerongkongnya (sebelum dia ghargharah).”

(H.R. Tirmizi dan dia mengatakan bahawa ini adalah hadis hasan)

Dari Zirr bin Hubaisy, dia berkata: “ Saya mendatangi Shafwan bin Assal r.a. untuk menanya soal menyapu dua khuf. Shafwan berkata: “Apakah yang menyebabkan engkau datang ke sini wahai Zirr?”

Saya menjawab: “Kerana ingin mencari ilmu pengetahuan.”

Kemudian dia berkata lagi: “ Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayapnya bagi orang yang menuntut ilmu, kerana redha dengan apa yang dicarinya.”

Kemudian saya berkata: “ Sebenarnya saya sudah tergerak dalam hatiku tentang cara menyapu dua khuf itu sehabis buang air besar atau kecil. Engkau adalah termasuk salah seorang sahabat Nabi s.a.w., maka dari itu saya datang ke sini untuk menanyakan kepadamu, apakah engkau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. menyebut persoalan menyapu sepatu khuf itu daripadanya?”

Shafwan menjawab: “ Ya pernah, Rasulullah s.a.w. menyuruh kita semua, jika kita dalam musafir, supaya kita jangan melepaskan sepatu khuf kita selama tiga hari dengan malamnya, kecuali jika kita terkena janabah, tetapi kalau hanya kerana membuang air besar atau air kecil atau kerana sehabis tidur, bolehlah tidak usah dilepaskan.”

Saya bertanya lagi : “Apakah engkau pernah mendengar baginda menyebutkan tentang cinta?”

Dia menjawab: “ Ya pernah. Pada suatu ketika kami bersama Rasullulah s.a.w dalam suatu perjalanan. Dikala kami berada di sisinya, tiba-tiba ada seorang Arab Badui ( orang Arab dari pedalaman) memanggil beliau dengan suara yang keras sekali, “ Wahai Muhammad!”

Rasulullah s.a.w. menjawabnya dengan suara keras pula menyerupai suara orang itu: “Mari ke sini.”

Saya berkata kepada orang Arab Badui itu: “Celaka engkau ini, perlahankanlah suaramu, sebab engkau ini benar-benar ada disisi Nabi s.a.w., sedangkan engkau telah dilarang melakukan perkara semacam ini. Orang Badui itu berkata: “ Demi Allah, saya tidak akan memperlahankan suaraku.” Kemudian orang Badui itu berkata: “Ada orang mencintai sesuatu golongan, tetapi dia tidak dapat berkumpul berrsama mereka.”

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya pada hari kiamat kelak.” Baginda tidak henti-hentinya menceritakan apa sahaja kepada kami, sehingga akhirnya baginda menyebutkan bahawa di arah barat ada sebuah pintu yang perjalanan luasnya yakni sekiranya seseorang yang berkerendaan berjalan hendak menempuh jarak luasnya itu, maka jarang antara dua hujung pintu tadi adalah sejauh empat puluh atau tujuh puluh tahun.”

Salah seorang yang meriwatkan hadis ini, iaitu Sufyan mengatakan:

“ Allah Ta ‘ala menciptakan pintu itu bersamaan dengan Dia menciptakan langit dan bumi, pintu itu sentiasa terbuka untuk menerima taubat, tidak pernah ditutup sehingga matahari terbit dari sebelah barat.” (H.R Tirmizi dan yang lainnya, dan Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah Hasan shahih)

Dari Abu Said, Sa ‘ad bin Malik bin Sinan Al Khudri r.a. bahwa Nabi Allah( Muhammad) s.a.w. bersabda:

“ Ada seorang lelaki dari golongan umat yang sebelum kamu telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, kemudian dia menanyakan tentang orang yang paling alim dari penduduk bumi, kemudian dia ditunjukkan pada seorang pendeta. Dia pun mendatanginya dan selanjutnya berkata bahawa sesungguhnya dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah masih diterima untuk bertaubat. Pendeta itu mengatakan bahawa taubatnya tidak dapat diterima. Kemudian pendeta itu pun dibunuhnya dan dengan demikian dia telah menyempurnakan jumlah seratus orang yang dibunuhnya.

Kemudian dia mencari-cari lagi tentang orang yang paling alim dari penduduk bumi, kemudian ditunjukkan kepada seorang yang alim, dia kemudia n mengatakan bahawa sesungguhnyadia telah membunuh seratus orang, apakah masih diterima taubatnya.

Orang alim itu berkata: “Ya, masih mungkin diterima taubatmu. Siapa yang dapat menghalang-halangi antara dirimu dengan taubat itu? Pergilah engkau ke tanah begini-begini, sebab disitu ada beberapa kelompok manusiayang sama menyembah Allah Ta ‘ala, aka menyembahlah engkau kepada Allah Ta ‘ala bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali ke tanahmu sendiri, sebab tanahmu adalah negeri yang buruk dan penuh dengan dosa.”

Orang itu terus pergi sehingga di waktu dia telah sampai separauh perjalanan, tiba-tiba dia telah didatangi oleh kematian. Kemudian bertengkarlah untuk mempersoalkan diri orang tadi malaikat rahmat dan malaikat azab. Malaikat rahmat berkata: “Orang ini telah datang untuk bertaubat sambil menghadapkan hatinya kepada Allah Ta ‘ala.” Malaikat azab berkata: “Orang ini sama sekali belum pernah melakukan kebaikan sedikitpun.”

Kemudian datanglah seorang malaikat dalam bentuk manusia, kemudian kedua malaikat itu menjadikannya sebagai hakim. Maka berkatalah malaikat yang datang dengan rupa manusia itu: “ Ukurlah oleh kamu antara dua daerah itu kepada daerah yang lebih dekat itulah ketentuan nasibnya.”

Malaikat-malaikat itu mengukur, kemudian didapatinya bahawa orang tersebut adalah lebih dekat kepada daerah yang dikehendakinya, maka dia pun dijemput oleh malaikat rahmat.”

(Muttafaqun ‘alaih)

Pada riwayat lain dalam kitab ash-Shahih pula disebutkan: “ Allah Ta ‘ala kemudian mewahyukan kepada daerah hitam itu supaya menjauh dan mewahyukan kepada daerah yang baik itu supaya mendekat, dan kemudian berfirman:

“ Ukurlah jarak di antara keduanya.” Malaikat-malaikat itu mendapatkannya bahawa kepada kepada yang ini- yang dituju adalah lebih dekat sejauh sejengkal sahaja jaraknya. Maka orang itu pun diampunilah dosa-dosanya.”

Dalam riwayat lain lagi disebutkan: “ Kemudian Allah membuat hatinya cenderung untuk menuju ke daerah yang baik itu”

Dari Abdullah bin Ka’ab bin Malik- dia adalah panglima Ka’ab r.a. dari golongan anak-anaknya ketika Ka’ab sudah buta matanya, dia berkata: “

Saya mendengar Ka’ab bin Malik r.a. menceritakan perihal peristiwanya sendiri ketika dia tidak mengikuti Rasulullah s.a.w. dalam peperangan Tabuk.”

Ka’ab berkata: “ Saya tidak pernah tertinggal ( tidak mengikuti) Rasulullah s.a.w. dalam suatu peperangan pun kecuali dalam peperangan Tabuk. Hanya sahaja saya juga pernah tidak mengikuti dalam peperanagn Badar, tetapi Rasulullah s.a.w. tidak mencela seprang pun yang tidak mengikutinya itu. Hanyasanya Rasulullah s.a.w. keluar bersama kaum Muslimin untuk menghadang kafilah Quraisy, namun Allah Ta ‘ala mempertemukan mereka itu dengan musuhnya dalam waktu yang tidak tertentukan.

Saya juga turut ikut menyaksikan Rasulullah s.a.w. pada malam Aqabah ketika kami berbai’at berjanji saling menguatkan Islam, dan saya tidak senang seandainya tidak mengikuti malam Aqabah itu sekalipun pula umpama sayaikut menyaksikan peperangan Badar dan sekalipun pula bahawa peperangan Badar itu lebih masyur sebutannya dikalangan masyarakat daripada malam Aqabah tadi.

Perihal keadaanku ketika saya tidak mengikuti Rasulullah s.a.w. dalam peperangan Tabuk ialah bahawa saya sama sekali tidak lebih kuat dan lebih mampu sebagaimana keadaan saya sewaktu tidak mengikuti dalam perang Tabuk.

Demi Allah saya belum pernah menyediakan dua buah kenderaan untuk berperang kecuali menjelang peperangan Tabuk itu. Apabila Rasulullah s.a.w. mengkehendaki suatu peperangan, maka baginda menyamarkan dengan tujuan lain, namun dalam peperangan Tabuk ini Rasulullah tidak menyamar-nyamarkannya, kerana baginda akan berperang pada musim yang sangat panas dan akan menempuh perjalanan yang sangat jauh serta akan menghadapi musuh yang sangat besar.

Rasulullah s.a.w. kemudian menghuraikan maksudnya itu kepada seluruh kaum Muslimin dan menjelaskan persoalan mereka, supaya mereka dapat bersiap untuk menyediakan perbekalan peperangan mereka. Baginda memberitahukan kepada kaum Muslimin yang menyertai Rasulullah s.a.w. itu banyak sekali, tetapi mereka itu tidak terdaftar dalam sebuah buku yang terpelihara.” Yang dimaksudkan oleh Ka’ab ialah adanya buku catatan yang berisi daftar mereka itu.

Ka’ab berkata: “Maka sedikit sekali orang yang ingin untuk tidak menyertai peperangan tadi, melainkan dia juga menyangka bahawa dirinya akan tersamarkan, selama tidak ada wahyu turun dari Allah Ta ‘ala- maksudnya kerana banyaknya orang yang mengikuti, maka orang yang berniat tidak mengikuti tentu tidak akan diketahui oleh siapa pun sebab catatannya pun tidak ada-.

Rasulullah s.a.w. berangkat dalam peperangan Tabuk itu ketika musim buah-buahan dan naungan-naungan di bawahnya sedang nyaman atau sejuk. Sebenarnya saya lebih cenderung untuk mengikuti perang itu.

Rasulullah s.a.w. bersama kaum muslimin telah bersiap-siap pula dengan baginda, tetapi saya kemudian mundur lagi dan tidak ada suatu urusan pun yang saya selesaika, hanya dalam hati saya berkata bahawa saya dapat sewaktu-waktu berangkat jika saya menginginkan.

Perkara yang sedemikian itu selalu sahaja menghulur-hulurkan waktu persiapanku, sehingga mereka giat sekali untuk mengadakan perbekalan mereka, sedangkan saya sendiri belum ada persiapan sedikit pun.

Kemudian saya pergi lagi kemudian kembali pula dan tidak pula ada sesuatu urusan yang dapat saya selesaikan. Keadaan sedemikian ini terus-menerus menyebabkan saya menangguhkan waktu keberangkatanku, sehingga ramai orang telah bergegas-gegas dan majulah mereka yang hendak mengikuti peperangan itu. Saya bermaksud akan berangkat kemudian dan selanjutnya tentu dapat menyusul mereka yang berangkat lebih dulu.

Alangkah baiknya sekiranya maksud itu saya laksanakan, tetapi kiranya yang sedemikian tadi tidak ditakdirkan untuk dapat saya kerjakan. Dengan begitu maka setiap saya keluar bertemu dengan para sahabat setelah berangkatnya Rasulullah s.a.w. itu, keadaan sekeliling itu selalu menyedihkan hatiku, kerana saya mengetahui bahawa diriku itu hanyalah sebagai tuntutan yang dapat dituduh melakukan kemunafikan atau hanya sebagai seseorang yang dianggap uzur oleh Allah Ta ‘ala kerana termasuk goongan kaum yang tidak kuasa mengikuti peperangan.

Rasulullah s.a.w. tidak mengingatkan saya sehingga baginda sampai di Tabuk, maka sewaktu baginda duduk di kalangan kaumnya di Tabuk, tiba-tiba baginda bertanya:

“ Apa yang diperbuat oelh Ka’ab bin Malik?”

Seorang dari golongan Bani Salimah menjawab: “ Wahai Rasulullah, dia ditahan oleh pakaian indahnya (mantelnya) dan dia hanya melihat-lihat keindahannya sahaja.”

Kemudian Mu ‘az bin Jabal r.a. berkata: “Buruk sekali yang engkau katakan itu. Demi Allah wahai Rasulullah, kami tidak pernah melihat keadaan Ka’ab kecuali yang baik-baik sahaja.” Rasulullah s.a.w. hanya dia sahaja. Ketika Rasulullah s.a.w. dalam keadaan seperti itu, baginda kemudian melihat ada seorang mengenakan pakaian serba putih yang tidak begitu jelas kerana terpengaruh adanya fatamorgana- sesuatu yang nampak semacam air dalam keadaan panas terik di padang pasir- Rasulullah s.a.w.bersabda :

“ Engkaukah Abu Khaitsamah?” Memang orang itu adalah Abu Khaitsamah Al- Anshari dan dia adalah orang yang pernah bersedekah dengan satu gantang kurma ketika dicaci oelh orang-orang munafik.

Ka’ab berkata lagi: “ Setelah ada berita sampai di telingaku bahawa Rasulullah s.a.w. telah menuju kembali dengan kafilahnya dari Tabuk, maka datanglah kesedihanku kemudian saya mula mengingat-ingat bagaimana sekiranya saya berdusta untuk mengadakan alasan tidak mengikuti peperangan. Saya berkata kepada diriku, “Bagaimana caranya supaya dapat terkeluar atau terhindar dari kemurkaannya besok sekiranya baginda telah tiba? Saya pun meminta bantuan untuk menemukan jalan keluar dari kesusahan ini dengan setiap orang yang mempunyai banyak pendapat dari golongan keluargaku.

Setelah diberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. telah tiba maka lenyaplah kebatilan dari jiwaku- yakni keinginan akan berdusta itu- sehingga saya mengetahui bahawa saya tidak dapat menyelamatkan diriku dari kemurkaannya itu dengan sesuatu apa pun buat selama-lamanya.

Oleh sebab itu saya menyatukan pendapat hendak mengatakan secara sebanarnya. Rasulullah s.a.w. apabila datang dari perjalanan, tentu memulai dengan memasuki masjid, kemudian solat sunat dua rakaat,kemudian duduk dihadapan orang ramai.

Setelah baginda melakukan sedemikian itu, maka datanglah kepada mereka yang tidak mengikuti peperangan untuk tidak mengikuti peperangan untuk mengemukakan alasan mereka dan mereka pun bersumpah dalam mengemukakan alasan-alasannya itu. Jumlah yang tidak mengikuti itu ada lapan puluh orang lebih. Baginda menerima alasan-alasan yang mereka kemukakan secara terus terang itu, juga meminta janji setia mereka serta memohonkan pengampunan untuk mereka pula, sedang apa yang tersimpan di hati mereka diserahkan kepada Allah Ta ‘ala.

Demikianlah sehingga saya pun datanglah menghadap Rasulullah s.a.w. Setelah saya mengucapkan salam kepadanya, baginda tersenyum bagaikan senyuman orang yang murka, kemudian bersabda:

“Kemarilah!”

Saya mendatanginya sambil berjalan sehingga duduk dihadapannya, kemudian baginda bertanya kepadaku:

“ Apakah yang menyebabkan engkau tidak ikut, bukankah engkau telah mempersiapkan (membeli) unta untuk kenderaanmu?”

Ka’ab berkata: “Saya kemudiannya menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya, demi Allah, seandainya saya duduk di sisi selain tuan dari golongan ahli dunia, nescaya saya berpendapat bahawa saya akan dapat keluar dari kemurkaannya dengan mengemukakan suatu alasan.

Sebenarnya saya telah diberi anugerah kepandaian dalam bercakap-cakap. Tetapi saya ini, demi Allah, pasti dapat mengerti bahawa seandainya saya memberitahukan kepada tuan dengan suatu cerita bohong pada hari ini yang tuan merasa rela (redha) dan menerima alasan saya, namun nanti Allah akan memurkai saya menerusi tuan.

Dan seandainya saya menceritakan apa yang sebenarnya terjadi pada diriku, nescaya tuan akan menyayangkan diriku, tetapi saya mesih tetap mengharapkan kemaafan dari Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung. Demi Allah, saya tidak berhalang sedikit pun, demi Allah, sama sekali saya belum merasakan bahawa saya lebih kuat dan lebih ringan untuk mengikutinya sewaktu saya tidak ikut perang bersama tuan.”

Ka ‘ab berkata: “Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda:

“Tentang orang ini, maka perbicaraannya memang benar tidak berdusta. Oleh sebab itu bolehlah engkau berdiri sehingga Allah akan memberi keputusanNya tentang dirimu.”

Ketika saya berdiri, ada beberapa orang dari golongan Bani Salimah yang berjalan mengikutiku, mereka berkata: “Demi Allah, kami belum pernah mengetahui kamu berbuat kesalahan sebelum ini. Mengapa engkau tidak meminta maafa sahaja kepada Rasulullah s.a.w. sebagaimana orang lain yang tidak ikut berperang, mereka meminta maaf dengan mengajukan alasan. Bukankah telah mencukupi untuk menghilangkan dosamu itu dengan istighfar Rasulullah s.a.w. kepada Allah untukmu?”

Ka ‘ab berkata: “Demi Allah, mereka selalu menyalahkan sikapku sehingga saya ingin sekali hendak kembali kepada Rasulullah s.a.w. agar saya mendustakan diriku sendiri. Kemudian asya berkata kepada mereka itu:

“ Apakah ada orang lain yang menemui peristiwa sebagaimana yang saya temui itu?”

Meraka menjawab: “Ya, ada dua orang yang menemui keadaan seperti itu. Keduanya berkata sebagaimana yang engkau katakan kemudian terhadap keduanya itu pun diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana kata-kata yang diucapkan kepada dirimu.”

Ka’ab bertanya: “ Siapakah kedua orang itu?” Mereka menjawab:

“Mereka itu ialah Murarah bin Rabi ‘ah Al- Amiri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.”

Ka ‘ab berkata: “Mereka itu menyebut-nyebutkan kepadaku bahawa kedua orangitu adalah orang soleh dan juga benar-benar ikut menyaksikan peprangan Badar, dan keduanya dapat dijadikan sebagai contoh (dalam keberanian dan lain-lain)

Ka ‘ab berkata: Kemudian saya pun pergi ketika mereka telah selesai menyebut-nyebutkan tentang kedua orang tersebut.

Rasulullah s.a.w. melarang kaum Muslimin untuk bercakap-cakap dengan ketiga orang di antara mereka yang tidak mengikuti perang Tabuk itu.”

Ka ‘ab berkata: “ Mereka sama menjauhi kami” Dalam riwayat lain Ka ‘ab berkata: “ Mereka sama berubah sikap terhadap kami bertiga, sehingga dalam jiwaku seolah-olah bumi ini tidak mengenal lagi diriku, maka seolah-olah bumi ini adalah bukan bumi yang saya kenal sebelumnya. Kami bertiga dipulaukan selama selama lima puluh hari. Adapun dua kawan saya, maka keduanya itu menetap sahaja dan selalu duduk-duduk di rumahnya sambil menangis.

Adapun saya sendiri, maka saya adalah yang termuda di antara kami bertiga dan lebih tahan mendapatkan ujian. Oleh sebab itu saya pun keluar serta menyaksikan solat berjemaah solat berjemaah berjemaah bersama kaum Muslimin lain dan juga suka berkeliling di pasar-pasar, tetapi seorang pun yang mengajak bercakap denganku.

Saya pernah mendatangi Rasulullah s.a.w. dan mengucapkan salam kepadaNya dan beliau berada di majlis sehabis solat, kemudian saya berkata dalam hatiku, apakah baginda menggerakkan kedua bibirnya untuk menjawab salamku itu ataukah tidak. Selanjutnya saya melakukan solat dekat sekali pada tempatnya itu dan saya mengamat-amatinya dengan pandanganku. Jika saya mula mengerjakan solat, baginda melihat kepadaku, tetapi jika saya menoleh kepadanya, baginda pun kemudian memalingkan mukanya dari pandanganku.

Peristiwa yang demikian itu, yang mana kaum muslimin memulaukan diriku, maka pada suatu ketika saya menaiki dinding rumah Abu Qatadah. Dia adalah anak pakcikku dan dia adalah orang yang paling aku cintai di antara semua orang semua orang. Saya memberikan salam kepadanya, tetapi demi Allah, dia tidak menjawab salamku itu.

Kemudian saya berkata kepadanya: “ Wahai Abu Qatadah, saya hendak bertanya kepadamu kerana Allah, apakah engkau mengetahui bahawa saya ini mencintai Allah dan RasulNya?” Dia diam sahaja, kemudian saya ulangi lagi dan bertanya sekali lagi dan bertanya sekali lagi kepadanya, dia pun masih diam sahaja. Akhirnya saya ulangi lagi dan saya menanyakannya sekali lagi, kemudian dia berkata: “Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui tentang itu.”

Mendengar jawapan itu, maka mengalirlah air mataku dan saya pun meninggalkannya saya menaiki dinding rumah Abu Qatadah tadi.

Ketika saya berjalan-jalan di pasar, tiba-tiba ada seorang petani dari negeri Syam yang menjual makanan di Madinah, kemudian orang itu berkata: “ Siapakah yang mahu menunjukkan orang yang bernama Ka ‘ab bin Malik? Mereka menunjukkannya ke arahku, sehingga orang itu pun mendatangi tempatku, kemudian menyerahkan sepucuk surat dari raja Ghassan. Waktu itu saya sudah pandai membaca dan menulis , maka surat itu pun say abaca, tiba-tiba isinya adalah sebagai berikut:

“ Ammaba’du, Sebenarnya telah sampai berita kepada kami bahawa sahabatmu telah memulaukanmu, Allah tidaklah menjadikan engkau untuk menjadi orang hina di dunia ataupun orang yang dihilangkan hak-haknya. Maka dari itu susullah kami maksudnya datanglah di tempat kami – maka kami akan menggembirakan hatimu.”

Kemudian saya berkata setelah selesai membacanya itu: “ Wah, ini ujian baru dengan membawa surat tadi kemudian saya membakarnya. Selanjutnya setelah lepas waktu selama empat puluh hari dari jumlah lima puluh hari, sedang wahyu agak terlambat datang tiba-tiba datanglah di tempatku seorang utusan dari Rasulullah s.a.w., kemudian dia berkata: “ Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. memerintah kepadamu supaya engkau menyendirikan isterimu.”

Saya bertanya: “Apakah saya harus menceraikannya ataukah apa yang harus saya lakukan?”

Dia berkata: “Tidak usah menceraikannya, tetapi menyendirilah daripadanya, jadi jangan sesekali-kali engkau mendekatinya.”

Rasulullah s.a.w. juga mengirimkan utusan kepada kedua sahabat saya yang senasib di atas sebagaimana yang dikirimkan kepadaku. Saya pun berkata kepada isteriku:

“Susulah dulu keluargamu( pergilah ke tempat kedua orang tuamu) berdiamlah di sisi mereka sehingga Allah akan menentukan bagaimana kelanjutan peristiwa ini.”

Isteri Hilal bin Umayyah mendatangi Rasulullah s.a.w., kemudian berkata kepada baginda:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya Hilal bin Umayyah itu seorang yang amat tua dan tidak mempunyai pelayan. Apakah tuan juga tidak senang seandainya saya tetap melayaninya?”

Baginda menjawab: “Tidak, tetapi jangan sesekali dia mendekatimu.”

Isterinya berkata: “Sesungguhnya Hilal itu demi Allah, sudah tidak mempunyai gerak sama sekali pada sesuatu pun dan demi Allah, dia sentiasa menangis sejak terjadinya peristiwa itu sampai pada hari ini.”

Sebahagian keluargaku berkata kepadaku: “Alangkah baiknya sekiranya engkau meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. dalam persoalan isterimu itu.

Rasulullah s.a.w. juga telah mengizinkan kepada isteri Hilal bin Umayyah untuk tetap melayaninya.” Saya berkata:

“Saya tidak akan meminta izin untuk isteriku itu kepada Rasulullah s.a.w., saya pun tidak tahu bagaimana nanti yang akan diucapkan oleh Rasulullah s.a.w., sekiranya saya meminta izin kepada baginda perihal isteriku itu kerana saya adalah orang yang masih muda.”

Saya tetap hidup sendirian tanpa isteri selama sepuluh hari, maka genaplah jumlahnya menjadi lima puluh hari sejak kaum Muslimin dilarang bercakap cakap dengan kami.

Kemudian saya solat Subuh pada pagi hari kelima puluh itu di atas rumah dari salah satu rumah keluarga kami. Ketika saya sedang duduk untuk merenungkan nasib sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Ta ‘ala, yang mana saya merasa sangat sempit hidup di dunia ini, tiba-tiba saya mendengar suara teriakan seseorang yang berada di atas gunung Sala’ – salah sebuah gunung di Madinah- dia berkata dengan suaranya yang amat keras:

“Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah.”

Setelah mendengar itu, saya segera bersujud syukur dan saya meyakinkan bahawa telah ada kelapangan yang datang untukku. Rasulullah s.a.w. telah memberitahukan kepada orang ramai bahawa taubat kami telah bertiga telah diterima Allah Azza Wajalla, iaitu di waktu baginda solat Subuh.

Maka mereka pun menyampaikan berita gembira itu kepada kami dan ada pula pembawa-pembawa kegembiraan itu yang mendatangi kedua sahabatku yang senasib. Ada seorang yang dengan cepat-cepat melarikan kudanya serta bergegas-gegas menuju ke tempatku dari golongan Aslam. Dia menaiki gunung dan suaranya itu kiranya lebih cepat terdengar olehku daripada datangnya kuda itu sendiri.

Setelah dia datang kepadaku, yakni orang yang kudengar suaranya tadi, dia pun memberikan berita gembira kepadaku, kemudian saya melepaskan kedua bajuku dan saya berikan kepadanya untuk dipakai, sebagai hadiah dari berita gembira yang disampaikannya itu. Demi Allah, saya tidak mempunyai pakaian selain keduanya tadi pada hari itu. Maka saya pun meminjam dua buah baju dari orang lain dan saya pakai kemudian saya berangkat menuju ke tempat Rasulullah s.a.w.

Mereka pun menyambut kedatanganku dengan sekelompok demi sekelompok menyatakan ikut gembira kepadaku sebab taubatku telah diterima. Mereka berkata:

“Semoga engkau bergembira kerana Allah telah menerima taubatmu.” Sampai akhirnya saya memasuki masjid, dan di situ Rasulullah s.a.w. sedang duduk dan di sekelilingnya ada beberapa orang.

Thalhah bin Ubaidillah r.a. kemudian berdiri cepat-cepat kemudian menjabat tanganku dan menyatakan ikut gembira atas diriku. Demi Allah tidak ada seorang pun dari golongan dari kaum Muhajirin selain Thalhah itu. Oleh sebab itu Ka ‘ab tidak akan melupakan peristiwa itu untuk Thalhah.

Ka ‘ab berkata: “Ketika saya mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w., Rasulullah s.a.w. bersabda dengan berseri-seri kerana gembiranya:

“Bergembiralah dengan datangnya suatu hari baik yang pernah engkau alami sejak engkau dilahirkan oleh ibumu.”

Saya bertanya: “Apakah itu datangnya dari sisi tuan sendiri wahai Rasulullah ataukah dari sisi Allah?”

Baginda menjawab: “Bukan dari aku sendiri, tetapi memang dari Allah Azza Wajalla.” Rasulullah s.a.w. apabila gembira hatinya, maka wajahnya pun bersinar indah, seolah-olah wajahnya itu adalah belahan bulan, kita semua mengetahui perkara itu.

Setelah saya duduk di hadapannya, saya kemudian berkata:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya untuk menyatakan taubatku itu ialah saya hendak melepaskan sebahagian hartaku sebagai sedekah kepada Allah dan RasulNya.” Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tahanlah untukmu sendiri dari harta-hartamu itu, sebaba yang demikian itu adalah lebih baik.”

Saya menjawab: “Sebenarnya saya telah menahan bahagianku yang ada di tanah Khaibar.”Kemudian saya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menyelamatkan diriku dengan jalan berkata benar, maka sebagai tanda taubatku pula ialah bahawa saya tidak aka berkata kecuali yang sebenarnya sahaja selama kehidupanku masih tertinggal.” Demi Allah, belum pernah saya melihat seorang pun dari kalangan kaum Muslimin yangdiberi cubaan oleh Allah Ta ‘ala dengan sebab kebenaran kata-kata yang diucapkan, sejak saya menyebutkan perkara itu kepada Rasulullah s.a.w. yang jadinya lebih baik dari yang telah diuji oleh Allah Ta ‘ala pada diriku sendiri.

Demi Allah, saya tidak bermaksud akan berdusta sedikit pun sejak saya mengatakan itu kepada Rasulullah s.a.w. sampai pada hariku ini dan sesungguhnya saya pun mengharapkan agar Allah Ta ‘ala sentiasa melindungi diriku dari pembohongan itu dalam kehidupan yang masih tertinggal untukku.”

Ka ‘ab berkata: “Kemudian Allah Ta ‘ala menurunkan wahyu (surah at-Taubah ayat 117-11) yang ertinya:

“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang anshar yang mengikuti Nabi dalam masa kesusahan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka.

“ Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah, melainkan kepadaNya sahaja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah, hendaklah kamu bersama mereka yang benar.”

Ka ‘ab berkata: Demi Allah, saya belum pernah merasakan nikmat Allah yang lebih besar selain dari memperoleh petunjuk dari Allah yang menjadikan saya masuk agama Islam, yang lebih besar dari kebenaran saya di hadapan Rasulullah s.a.w. sehingga saya tidak mendustainya, seandainya saya berdusta tentulah saya akan dibinasakan sebagaimana mereka yang berdusta itu telah dibinasakan.”

Sesungguhnya Allah Ta ‘ala telah berfirman kepada mereka yang berdusta ketika diturunkan wahyu,iaitu suatu kata-kata terburuk pernah diucapkan kepada seseorang. Allah Ta ‘ala berfirman(surah at-Taubah ayat 95-96) yang ertinya:

“Kelak mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling dari mereka. Maka berpalinglah dari mereka; kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka Jahanam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerja. Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang fasik itu.”

Ka ‘ab berkata: “Kami bertiga tertinggal dari urusan yang dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w., sehingga tidak termasuk dalam urusan golongan orang-orang yang diterima oelh Rasulullah s.a.w. perihal alasan-alasan mereka itu, iaitu ketika mereka juga bersumpah kepadaNya, kemudian memberikan janji-janji kepada mereka supaya setia dan memohonkan pengampunan untuk mereka pula. Rasulullah s.a.w. telah mengakhirkan urusan kami bertiga itu sehingga Allah memberikan keputusan dalam peristiwa tersebut.”

Allah Ta ‘ala berfirman:

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan ( penerimaan taubat) mereka,” maka yang dimaksud bukanlah kami tertinggal dari perangm tetapi baginda menangguhkan taubat kami dan mendiamkan kami tidak seperti mereka yang bersumpah di waktu menyampaikan alasan kemudian baginda menerima alasannya itu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dalam sebuah riwayat disebutkan: “Bahawa Rasulullah s.a.w. keluar untuk berangkat ke peperangan Tabuk pada hari Khamis dan memang Rasulullah s.a.w. suka sekali kalau musafir pada hari Khamis.”

Dalam riwayat lain disebutkan pula:

“Biasanya baginda kalau datang dari musafir pada waktu pagi, dan jika baginda datang, biasanya langsung ke masjid dan solat sunat dua rakaat kemudian duduk di masjid.”

Dari Abu Nujaid, Imran bin Hushain Al-Khuza’I r.a. bahawa ada seorang wanita dari suku Juhainah mendatangi Rasulullah s.a.w. dan dia sedang dalam keadaan hamil kerana perbuatan zina. Kemudian dia berkata: “Wahai Rasulullah, saya telah melakukan perbuatan yang harus dikenakan had –hukuman- maka tegakkanlah had itu atas diriku.” Maka Rasulullah s.a.w. memanggil wali wanita itu kemudian bersabda:

“Berbuat baiklah kepada wanita ini dan apabila dia telah melahirkan maka datanglah kepadaku dengan membawanya.”

Wali tersebut melakukan apa yang diperintahkan. Kemudian baginda memerintahkan untuk memberikan hukuman, wanita itu pun diikat pada pakaiannya, kemudian direjam. Selanjutnya Rasulullah s.a.w. menyembahyangkan jenazahnya.

Umar berkata kepada baginda: “Apakah tuan menyembahyangkan jenazahnya, wahai Rasulullah, sedangkan dia telah berzina?” Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dia benar-benar telah bertaubat, seandainya taubatnya itu dibahagikan kepada tujuh puluh orang dari penduduk Madinah, pasti mencukupi. Adakah engkau pernah menemukan seseorang yang lebih utama dari orang yang suka mendermakan jiwanya semata-mata kerana mencari keredhaan Allah Azza Wajalla?” (H.R. Muslim)

Dari Ibnu Abbas dan Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seandainya seorang Bani Adam(manusia) itu memiliki selembah emas, dia tentu menginginkan memiliki dua lembah dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya kecuali tanah (tidak merasa

puas sebelum mati) dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.”

(Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Allah SWT tertawa gembira melihat dua orang yang bunuh-membunuh yang kedua-duanya masuk syurga. Yang seorang berjuang pada jalan Allah kemudian dia terbunuh, kemudian yang membunuh itu bertaubat kepada Allah kemudian masuk Islam kemudian dia mati syahid.”

(Muttafaqun ‘alaih)


Ya Allah, Engaku adalah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau ciptakan daku dan aku adlaah hambaMu serta mengikuti ketentuan dan janjiMu sedaya yang ku upaya. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui besarnya nikmatMu terhadapku, dan aku akui dosaku, kerana itu ampunilah daku, kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau.

No comments:

Post a Comment

org sayang kat aku