Thursday, January 05, 2012

Iman dan Taqwa - Sifat Sabar


Sifat Sabar

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu.”

(Ali Imran:200)

Allah SWT berfirman:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut(kepada musuh) dan (dengan merasai)kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Al-Baqarah:155)

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya hanya mereka yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

(Az-Zumar:10)

Allah SWT berfirman dalam surah Asy-Syura:43 yang bermaksud:

“Dalam pada itu(ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan(kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah:153 yang bermaksud:

“Wahai sekalian orang-orang beriman! Mintalah pertolongan(untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan(mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai(menolong) orang-orang yang sabar.”

Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kamu.”

(Muhammad:31)

Ayat-ayat yang mengandungi perintah untuk bersabar dan menerangkan keutamaan bersabar sangat banyak disebutkan dalam Al-Quran.

Dari Abu Malik al Harits bin Ashim al-Asy’ari r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bersuci adalah separuh keimanan, Alhamdulillah itu memenuhi timbangan, Subhanallah dan Alahmdulillah itu dapat memenuhi atau mengisi penuh apa-apa yang ada di antara langit dan bumi, solat itu adalah cahaya, sedekah itu adalah sebagai tanda keimanan, sabar itu adalah merupakan cahaya, Al-Quran itu adalah hujjah terhadap apa yang kamu sukai atau terhadap apa yang kamu tidak sukai. Setiap orang itu berpagi-pagi, maka ada yang menjual dirinya kepada Allah, ada yang memerdekakan dirinya, dan ada yang membinasakan dirinya.” (H.R. Muslim)

Dari Abu Said, Sa ‘ad bin Malik bin Sinan Al Khudri r.a. bahawa ada beberapaj orang dari kaum Anshar meminta sedekah kepada Rasulullah s.a.w., kemudian baginda memberikan sesuatu kepada mereka itu, kemudian mereka meminta lagi Rasulullah pun memberinya pula sehingga habislah harta yang ada di sisinya,kemudian setelah habis membelanjakan segala sesuatu yang ada di tangannya itu Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apa sahaja kebaikan-yakni harta- yang ada disisiku, maka tidak sesekali akan ku simpan selagi sehingga ku tidak berikan kepada kamu. Barangsiapa yang menjaga diri-dari meminta-minta kepada orang lain, maka Allah akan menjaganya pula, dan barangsiapa yang merasa dirinya cukup maka akan mencukupkannya, dan barangsiapa yang berlaku sabar maka akan dikurniakan kesabaran oleh Allah. Tiada seorang pun dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik serta lebih luas daripada kurnia kesabaran itu,” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Yahya, Shuhaib bin Sinan r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sungguh menakjubkan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu hanya terjadi bagi orang mukmin sahaja, iaitu dia mendapat kelapangan hidup, dia pun bersyukur, maka perkara itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila dia ditimpa oleh kesukaran (musibah) dia pun bersabar dan perkara ini pun adalah merupakan kebaikan baginya.” (H.R. Muslim)

Dari Anas r.a. berkata: “Ketika Nabi s.a.w. menderita sakit keras (menjelang wafatnya), maka baginda pun diliputi oleh kedukaan, kemudian Fatimah r.a. berkata: “Aduh ayah sakit sekali.” Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda:

“Ayahmu tidak akan memperoleh kesukaran lagi sesudah hari ini.”

Tatkala Rasulullah s.a.w. telah wafat, Fatimah berkata: “Aduhai ayahanda, baginda telah memenuhi panggilan Tuhannya. Aduhai ayahanda, syurga Firdaus adalah tempat kediamannya. Aduhai ayahanda, kepada Jibril kami sampaikan berita wafatnya.”

Kemudian setelah baginda dimakamkan, Fatimah berkata pula: “Apakah kamu sekalian suka untuk menaburkan tanah di atas makam Rasulullah s.a.w.?” (H.R Bukhari)

Dari Abu Zaid, Usamah bin Zaid bin Haritsah, hamba sahaya Rasulullah s.a.w., serta kekasihnya serta puteri kekasihnya r.a. berkata: “Puteri Nabi s.a.w. mengirimkan berita kepada Rasulullah s.a.w. bahawa anaknya sedang sakaratul maut, maka kami diminta untuk datang. Kemudian baginda hanya mengirimkan khabar sambil menyampaikan salam, seraya bersabda:

“Sesungguhnya menjadi hak Allah untuk mengambil atau memberi dan segala sesuatu telah ditentukan disisiNya, maka hendaklah bersabar dan berniat mencari keredhaan Allah.”

Kemudian puteri Nabi s.a.w. mengirimkan berita lagi yang disertai dengan sumpah agar baginda mahu datang.

Baginda kemudian berdiri dan disertai oleh Sa ‘ad bin Ka’ab dan Zaid bin Tsabit dan beberapa orang lelaki lain. Maka diangkatlah anak kecil yang sakit itu kepada Rasulullah s.a.w., kemudian diletakkannya diatas pangkuannya sedang nafas anak itu terengah-engah. Kemudian melelehlah air mata dari kedua mata Rasulullah s.a.w. Melihat perkara itu, Sa ‘ad bertanya: “Wahai Rasulullah, air mata apakah itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Air mata ini adalah sebagai kesan dari kasih sayang Allah Ta ‘ala dalam hati para hambaNya.”

Dalam riwayat lain disebutkan: “Dalam hati siapa sahaja yang disukai olehNya daripada hambaNya. Hanya sahaja Allah menyayangi hamba-hambaNya yang menaruh kasih sayang terhadap sesamanya.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Shuhaib r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Pada zaman dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang raja yang mempunyai tukang sihir, kemudian ketika tukang sihir itu sudah lanjut usia dia berkata kepada rajanya: “Sesungguhnya saya sekarang sudah lanjut usia, oleh kerana itu perkenankanlah saya meminta supaya tuan mengirimkan seorang pemuda kepada saya dimana saya akan mengajarkannya ilmu sihir kepadanya.”

Raja itu pun mengirimkan seorang pemuda untuk belajar sihir kepadanya. Ketika pemuda itu berjalan menuju ke tempat tukang sihir itu maka di tengah jalan dia bertemu dengan seorang pendeta kemudian pemuda itu berhenti dan mendengarkan apa yang disampaikan oleh pendeta itu. Oleh kerananya pemuda itu terlambat datang ke tempat tukang sihir.

Ketika pemuda samoai ke tempat tukang sihir maka dipukulnya pemuda itu, kemudian dia mengadukannya kepada pendeta itu, lantas pendeta itu berkata: “Jika kamu takut terhadap tukang sihir itu maka katakanlah bahawa keluargamu menahan kamu, dan jika kamu takut terhadap keluargamu maka katakanlah bahawa tukang sihir menahanmu.”

Pada suatu hari ketika dia berjalan, tiba-tiba dia menjumpai di tengah jalan seekor binatang yang sangat besar sehingga menjadikanorang ramai terhenti (tidak berani berjalan) . Pada saat itu si pemuda tadi berkata: “Nah hari ini aku akan mengetahui tukang sihirkah yang betul ataukah pendeta?”

Pemuda itu mengambil batu seraya berkata: “Ya Allah, jika ajaran pendeta itu lebih Engkau sukai maka matikanlah binatang yang sangat besar itu agar mereka dapat melanjutkan perjalanannya.”

Kemudian dia melemparkan batu maka matilah binatang yang sangat besar itu, dan orang ramai pun dapat melanjutkan perjalananya. Selanjutnya dia mendatangi pendeta dan menceritakan apa yang baru sahaja terjadi, maka berkatalah pendeta itu kepadanya:

“Wahai anakku, kamu sekarang lebih utama daripada saya kerana kamu telah menguasai segala apa yang aku ketahui, dan kamu nanti akan mendapat ujian. Jika kamu diuji maka janganlah kamu menyebut-nyebut namaku.” Kemudian pemuda itu dapat menyembuhkan orang yang buta, belang dan jenis-jenis penyakit yang lain.

Terdengarlah berita bahawa kawan tuan raja sakit mata sehingga buta dan sudah diusahakan kemana-mana tetapi belum juga sembuh. Kemudian datanglah dia kepada pemuda itu dengan beraneka macam hadiah serta berkata: “Apakah kamu dapat menyembuhkan saya?” Pemuda itu menjawab: “Sesungguhnya saya tidak mampu menyembuhkan seseorang, yang menyembuhkan adalah Allah Ta ‘ala. Jika tuan beriman kepada Allah Ta ‘ala nescaya saya akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkan penyakit tuan.” Maka berimanlah orang itu dengan Allah Ta ‘ala dan disembuhkanNyA penyakitnya itu. Orang itu datang ke tempat raja dan duduk-duduk bersamanya sebagaimana biasa, kemudian raja itu bertanya kepadanya: “Siapakah yang menyembuhkan matamu itu?”

Dia menjawab: Tuhanku.” Raja berkata: “Apakah kamu mempunyai Tuhan selain aku?” Dia menjawab: “Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” Maka raja itu langsung menyeksanya sehingga orang itu menunjuk kepada pemuda tadi. Maka dipanggillah pemuda itu dan berkatalah raja kepadanya: “Wahai anakku sihirmu sangat ampuh sehingga dapat menyembuhkan buta dan penyakit belang serta kamu berbuat ini dan itu.”

Pemuda itu menjawab: : “Sesungguhny a yang dapat menyembuhkan adalah Allah Ta ‘ala.” Maka langsung diseksalah pemuda itu sehingga dia menunjuk kepada si pendeta, maka dipanggillah pendeta itu serta dikatakan kepadanya: “Kembalilah kamu kepada agamamu semula,” tetapi pendeta itu tidak mahu. Kemudian raja itu menyuruh untuk mengambil gergaji itu di atas kepalanya serta digergajilah dia sehingga badannya terbelah dua.

Kemudian dipanggillah kawan raja itu dan dikatakan kepadanya: “Kembalilah kamu pada agamamu semula,” tetapi orang itu enggan kemudian dia digergaji sejak dari atas kepalanya sehingga badannya terbelah dua.

Kemudian dipanggillah pemuda itu dan dikatakan kepadanya: “Kembalilah kamu kepada agamamu semula.” Tetapi pemuda itu enggan kemudian dia diserahkan kepada pasukannya dan memerintahkan supaya membawanya ke suatu gunung. Jika sudah sampai di puncak gunungm mereka memaksanya untuk kembali kepada agamanya semula dan jika tidak mahu maka dia harus dilemparkan.

Pasukan itu membawa pemuda tadi ke puncak gunung, dan disana pemuda itu berdoa:

“Ya Allah hindarkanlah saya dari kejahatan mereka sesuai dengan apa yang Engkau kehendaki.” Kemudian bergoncanglah gunung itu sehingga pasukan tadi berjatuhan dari atas gunung. Pemuda itu tadi datang lagi kepada raja, kemudian raja bertanya: “Apa yang telah diperbuat pasukan itu?” Pemuda itu menjawab: “Allah telah menghindarkan saya dari kejahatan mereka.”

Pemuda itu kemudian diserahkan kepada kelompok pasukan yang lain dan raja mengatakan bahawa agar membawa pemuda itu naik kapal dan jika telah sampai ke tengah-tengah lautan supaya mereka memaksa untuk kembali kepada agamanya semula dan jika tidak mahu maka dia harus dibuang di tengah-tengah lautan itu.

Pasukan itu kemudian membawa pemuda itu naik kapal, kemudian pemuda itu berdoa:

“Ya Allah hindarkanlah saya dari kejahatan mereka sesuai dengan apa yang Engkau kehendaki.” Kemudian terbaliklah kapal itu dan tenggelamlah kapal itu. Pemuda itu datang lagi kepada raja, dan raja berkata: : “Apa yang telah diperbuat pasukan itu?” Pemuda itu menjawab: “Allah telah menghindarkan saya dari kejahatan mereka.”

Kemudian pemuda itu berkata kepada raja: “Sesungguhnya engkau tidak akan dapat mematikan saya sebelum engkau mematuhi perintahku.” Raja itu berkata: “Apakah yang engkau inginkan?”

Pemuda itu menjawab: “Engkau harus mengumpulkan orang ramai dalam satu lapangan dan gantunglah saya di atas sebuah tiang kemudian ambillah anak panahku dari tempatnya serta letakkanlah dari busurnya kemudian bacalah “Bismillahi Rabbil ghulam (dengan menyebut nama Allah, Tuhan pemuda ini) lantas lepaskanlah anak panah itu kepada diriku.

“Apabila engkau berbuat seperti itu maka engkau berhasil membunuh saya. Maka raja itu mengumpulkan orang ramai dalam satu lapangan dan menggantung pemuda itu di atas tiang kemudian dia mengambil anak panah dari tempatnya dan diletakkan pada busurnya kemudian dia membaca “Bismillahi Rabbil ghulam “(dengan menyebut nama Allah, Tuhan pemuda ini). Lantas melepaskan anak panah itu kepada pemuda tadi dan mengenai pelipisnya kemudian pemuda itu meletakkan tangannya pada pelipisnya dan matilah dia.

Pada saat itu orang-orang yang menyaksikan peristiwa itu berkata:”Kami beriman kepada Tuhan pemuda itu.” Ada seseorang yang menyampaikan berita itu kepada raja seraya berkata: “Tahukah engkau, apa yang engkau takutkan sekarang telah menjadi kenyataan. Demi Allah kekhuatiranmu tidak ada gunanya sama sekali kerana mereka semua sudah beriman.” Kemudian raja itu memerintahkan membuat parit yang besar pada setiap persimpangan jalan dan pada parit itu supaya dinyalakan api, dan raja memerintahkan pula siapa sahaja yang tidak mahu kembali kepada agama semula maka supaya dilemparkan ke dalam parit itu.

Maka perkara yang demikian itu dilaksanakanlah, dan seorang wanita yang membawa bayinya kemudian merasa sangat kasihan kepada anaknya kalau dia beserta bayinya masuk ke dalam parit, akan tetapi bayi itu berkata kepadanya: “Wahai ibu sabarlah, kerana ibu berada dalam kebenaran.” (H.R Muslim)

Dari Anas r.a berkata: “Nabi s.a.w. pernah berjalan melalui seorang wanita yang sedang menangis di dekat sebuah kubur. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah!” Wanita itu berkata: “Ah, menjauhlah daripadaku, kerana tuan tidak terkena musibah sebagaimana yang mengenai diriku dan tuan tidak mengetahui musibah apa itu.” Wanita tersebut diberitahu oleh sahabat s.a.w. bahawa yang memberi nasihat tadi adalah Nabi s.a.w. Wanita itu kemudian mendatangi pintu rumah Nabi s.a.w, tetapi didepan pintu rumah beliau itu tidak didapatinya penjaga-penjaga pintu.

Wanita itu kemudian berkata: “Saya memang tidak mengenal tuan.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hanyasanya bersabar itu ialah di kala kedatangan musibah yang pertama.” (Muttafaqun ‘alaih)

Pada riwayat Muslim disebutkan: “Wanita itu menangisi anak kecilnya( yang mati)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Allah Ta ‘ala berfirman:

“Tidak ada balasan bagi seseorang hambaKu yang mukmin di sisiKu, di waktu Aku mengambil (mematikan) kekasihnya dari ahli dunia, kemudian dia mengharapkan keredhaan Allah, melainkan orang itu akan mendapatkan syurga.” (H.R Bukhari)

Dari Aishah r.a. bahawa dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w. perihal taun (wabak), kemudian baginda memberitahukannya bahawa sesungguhnya taun itu adalah sebagai seksaan yang dikirimkan oleh Allah Ta ‘ala kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki olehNya, tetapi juga sebagai rahmat yang dijadikan oleh Allah Ta ‘ala kepada kaum mukminin. Maka tidak seorang hamba pun tertimpa oleh taun, kemudian menetap di negerinya sambil bersabar dan mengharapkan keredhaan Allah serta mengetahui pula bahawa taun itu tidak akan mengenainya kecuali kerana telah ditetapkan oleh Allah untuknya, kecuali dia akan memperolehi seperti pahala orang yang mati syahid.” (H.R Bukhari)

Dari Anas r.a. berkata: “Saya pernah mendengar Rasululllah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah Ta ‘ala berfirman: Apabila ku menguji salah seorang hambaKu dengan buta kedua matanya kemudian dia bersabar maka Aku akan menggantikan kedua matanya dengan syurga.” (H.R. Bukhari)

Dari Atha’ bin Abu Rabah berkata: “Ibnu Abbas r.a. berkata kepadaku: “Mahukah kamu saya tunjukkan seorang wanita yang termasuk ahli syurga?” Saya menjawab: “Ya, mahu.” Ibnu Abbas berkata: “Itu wanita hitam yang pernah datang kepada Nabi s.a.w. di mana waktu itu dia berkata: “Sesungguhnya saya mempunyai penyakit ayan, dan sesungguhnya pernah terbuka aurat saya kerananya, oleh kerana itu, doakanlah kepada Allah Ta ‘ala agar penyakit saya sembuh.”

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika kamu mahu bersabar maka kamu akan mendapatkan syurga, dan jika kamu tetap meminta maka aku pun akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkan penyakitmu itu.” Wanita itu berkata: “Saya akan bersabar.” Kemudian wanita itu berkata lagi: “Sesungguhnya kadang-kadang sampai terbuka aurat saya doakanlah kepada Allah agar aurat saya tidak terbuka.” Maka Nabi pun mendoakan baginya. (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas ‘ud r.a. berkata: “Seakan-akan saya melihat Rasulullah s.a.w sedang menceritakan tentang seorang Nabi dari sekian banyak nabi-nabi. Nabi itu dipukuli oleh kaumny, sehingga menyebabkan keluar darahnya dan Nabi tersebut menyapu darah dari wajahnya sambil mengucapkan: “Ya Allah ampunilah kaumku itu, sebab mereka itu memang tidak mengetahui.”

(Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Said dan Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak seorang muslim pun yang tertimpa musibah kecelakaan, kesusahan, kesedihan, kesakitan mahupun keduka-citaan sehinggalah pada tertusuk duri, melainkan Allah akan menebus dosanya dengan apa yang menimpanya itu. (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Ibnu Mas ‘ud r.a. berkata: Saya memasuki tempat Nabi s.a.w. dan baginda sedang dihingapi penyakit panas. Saya kemudian berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau dihinggapi penyakit panas yang amat sangat.” Baginda kemudian bersabda: “Benar, sesungguhnya saya terkena panas sebagaimana panas dua orang dari kamu” Saya berkata lagi: “Kalau demikian engkau tentulah mendapatkan dua kali pahala.”Rasulullah s.a.w. bersabda: “Benar, demikianlah memang keadaannya, tiada seorang Muslim pun yang terkena oleh sesuatu kesakitan, baik itu berupa duri ataupun sesuatu yang lebih dari itu, melainkan Allah pasti menutupi kesalahan-kesalahannya, dan dihapuskanlah dosa-dosanya sebagimana daun berguguran dari pohonnya. “

(Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabdda: “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapat kebaikan, maka ditimpakan musibah (ujian) kepadanya.” (H.R Bukhari)

Dari Anas r.a. berkata: “Rasullulah s.a.w. bersabda: “Janganlah seseorang dari kamu mengharap-harapkan tibanya kematian dengan sebab adanya sesuatu musibah yang mengenainya. Tetapi jika dia terpaksa harus berbuat demikian maka hendaklah mengatakan: “Ya Allah, tetapkanlah aku hidup selama kehidupanku itu masih merupakan kebaikan untukku.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Abdullah Khabbab bin Al-Aratt r.a. berkata: “Kami mengadu kepada Rasulllah s.a.w. sedangkan beliau sedang berbantalkan pakaian burdahnya di bawah naungan Ka ‘bah, kemudian kami berkata: “Apakah tuan tidak memintakan pertolongan buat kami? Apakah tuan tidak mendoakan kami? Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mereka yang sebelum kamu itu ada seseorang yang digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua dan ada pula seseorang yang disisir dengan sisir besi yang mengenai daging dan tulangnya tetapi yang demikian itu tidak menggoyahkan mereka dari agamanya.

Demi Allah, Allah pasti akan mengembangkan agama Islam ini hingga merata dari Shana sampai ke Hadramaut di mana setiap dari mereka tidak takut melainkan hanya dengan Allah melebihi takutnya kambing terhadap serigala. Tetapi kamu sekalian sangat tergesa-gesa.” (H.R Bukhari)

Dalam salah satu riwayat disebutkan: “Beliau sedang berbantalkan pakaian burdahnya sedangkan kami baru sahaja bertemu dengan orang-orang musyrik yang menyeksa kami dengan seksaan yang sangat berat.”

Dari Ibnu Mas ‘ud r.a. berkata: “Setelah selesai perang Hunain Rasulullah s.a.w. mendahulukan mereka yang terkemuka dalam membahagi rampasan perang yang mana beliau memberikan seratus unta kepada Al-Aqra’ bin Habis, beliau memberikan seratus unta kepada Uyainah bin Hishn dan beberapa pemuka bangsa Arab yang didahulukan oleh beliau dalam pembahagian rampasan perang pada hari itu, kemudian ada seorang lelaki yang berkata: “Demi Allah, sesungguhnya pembahagian rampasan perang ini tidak adil dan nampaknya tidak semata-mata kerana Allah.”

Maka saya berkata: “ Demi Allah, saya benar-benar akan menyampaikan perkara ini kepada Rasulullah s.a.w.” Kemudian saya datang kepada baginda dan menceritakan apa yang dikatakan oleh lelaki tadi. Tiba-tiba berubahlah wajah beliau bagaikan kesumba yang merah, kemudian bersabda: “Siapakah yang adil jika Allah dan RasulNya dianggap tidak adil?”

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi Musa kerana beliau telah disakiti hatinya melebihi apa yang menimpa pada diriku tetapi baginda tetap bersabar.” Saya berkata: “Tidak jadi apa, saya tidak menyampaikan berita semacam itu lagi kepada beliau sesudah peristiwa itu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Anas r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila Allah mengkehendaki hambaNya itu mendapat kebaikan, maka Dia menyegerakan seksaannya di dunia ini, dan apabila Allah mengkehendaki keburukan terhadap hambaNya itu, maka Dia menangguhkan balasan dosanya sehingga akan dituntut nanti pada hari kiamat.”

Nabi s.a.w. bersabda pula: “Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya ujian. Dan sesungguhnya apabila Allah Ta ‘ala mencintai sesuatu bangsa maka Allah menguji mereka; barangsiapa yang redha maka Allah akan meredhai dan barangsiapa yang murka maka Allah akan memurkainya.”

(H.R Tirmizi, dan dia mengatakan bahawa hadis ini hasan)

Dari Anas r.a. berkata: “Abu Thalhah mempunyai anak yang sedang sakit. Sewaktu Abu Thalhah pergi anaknya itu meninggal dunia. Kemudian ketika Abu Thalhah pulang dia bertanya: “Bagaimana keadaan anak kita?” Ummu Sulaim, ibu anak itu, berkata: “Anak kita lebih tenang.” Isterinya kemudian menyiapkan makanan malamlah, selanjutnya dia menyetubuhi isterinya itu. Setelah selesai, Ummu Sulaim berkata: “Makamkanlah anak itu.”

Kemudian pada pagi hainya Abu Thalhah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan menceritakan perkara itu. Beliau bertanya: “Apakah tadi malam kamu juga bersetubuh dengan isterimu.?” Abu Thalhah menjawab: “Ya.” Beliau berdoa: “Ya, Allah kurniakanlah pasangan suami isteri ini.”

Kemudian isterinya melahirnya seorang anak lelaki. Kemudian Abu Thalhah menyuruh saya (Anas) untuk membawa bayi itu Nabi s.a.w. denagn menyertakan beberapa biji kurma.

Setelah sampai di hadapan Nabi, beliau bertanya: “Apakah ada sesuatu yang disertakan bersama bayi ini?”

Anas menjawab: “Ya, ini beberapa biji kurma.” Kemudian beliau mengambil biji-biji kurma itu lantas dikunyah-kunyah kemudian diambil dari mulut baginda dan dimasukkannya ke dalam mulut baginda dan dimasukkanya ke dalam mulut bayi itu dan diberinya nama: “Abdullah.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dan pada salah satu riwayat Bukhari disebutkan: “Ibnu Uyainah berkata: Ada seorang sahabat Anshar yang berkata: Ada melihat ada sembilan anak yang kesemuanya telah pandai membaca Al-Quran.”Yang dimaksud, salah seorang di antaranya adalah Abdullah yang dilahirkan itu. Dalam salah satu riwayat Muslim disebutkan: “Ketika anak Abu Thalhah dari Ummu Sulaim meninggal dunia, Ummu Sulaim berkata kepada keluarganya: Jangan kamu menceritakan tentang peristiwa anaknya kepada Abu Thalhah sebelum saya sendiri yang menceritakannya.

Kemudian Abu Thalhah datang, dan isterinya segera menghidangkan makan untuknya, maka makan dan minumlah Abu Thalhah, setelah itu isterinya mengajak bermesraan sehingga akhirnya samoai pada persetubuhan. Ketika isterinya tahu bahawa suaminya telah kenyang dan telah memuaskan nafsunya maka berkatalah isterinya itu: “Wahai Abu Thalhah, bagaimana pendapatmu seandainya ada sekelompok orang meminjamkan sesuatu kepada salah satu keluarga kemudian orang itu meminta kembali pinjamannya, apakah patut keluarga itu menahannya?”

Abu Thalhah berkata: “Tidak patut.” Isterinya berkata: “Kalau begitu relakan anakmu.”

Abu Thalhah marah-marah seraya berkata: “Mengapa kamu diam sahaja sejak tadi sehingga saya berseronok denganmu barulah kamu memberitahukan tentang anak kita.”

Kemudian Abu Thalhah pergi dan mendatangi Rasulullah s.a.w. kemudian menceritakan apa yang telah terjadi. Rasulullah s.a.w. lantas bersabda: “Semoga Allah mengurnia terhadap apa yang telah kamu lakukan tadi malam.”

Kemudian hamillah isterinya. Setelah itu Rasulullah s.a.w musafit bersama-sama dengan Abu Thalhah dan isterinya. Ketika kembali dan akan masuk kota Madinah Ummu Sulaim tidak dapat melanjutkan perjalanan kerana merasa sakit perut, maka baginda menahan Abu Thalhah untuk menemani isterinya itu dan Rasulullah s.a.w. melanjutkan perjalanan.

Abu Thalhah berdoa: “Ya Allah sesungguhnya saya sangat tenang kalau masuk bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. tetapi sewaktu saya akan masuk kota ditahan disini sebagaimana Engkau ketahui.” Kemudian Ummu Sulaim berkata: Wahai Abu Thalhah rasa sakit perutku telah hilang marilah kita melanjutkan perjalanan.”

Ketika keduanya telah sampai ke rumahnya maka terasa kembali sakit perutnya itu, kemudian Ummu Sulaim itu melahirkan seorang anak lelaki, dan dia berkata kepadaku: “Janganlah ada seseorang yang menyusukannya sebelum engkau bawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. “Maka pada pagi harinya saya membawa bayi itu ke hadapan Rasulullah s.a.w.” Kemudian dia pun meneruskan cerita hadis ini sampai selesai.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Yang dikatakan orang kuat bukanlah orang yang menang bergulat tetapi dikatakan orang kuat adalah orang yang dapat mengendalikan dirinya pada waktu marah.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Sulaiman bin Shurad r.a. berkata: “Saya duduk bersama Nabi s.a.w. dan di situ ada dua orang yang saling bermaki-makian antara seorang dengan kawannya. Salah seorang dari keduanya itu telah merah mukanya dan membesarlah urat lehernya, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui suatu kalimat yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang terjadi, iaitu seandainya dia mengucapkan: “A’udzu billahi minasysyaithanir rajim,” tentulah lenyap apa yang ditemuinya itu. Mereka kemudian berkata kepadanya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.” (Muttafawun ‘alaih)

Dari Mu ‘az bin Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang menahanmarahnya padahal dia kuasa untuk meneruskannya maka llah SWT mengundangnya di hadapan kepala sekalian makhluk pada hari kiamat, sehingga disuruhnya orang itu memilih bidadari-bidadari dengan sesuka hatinya.” (H.R. Abu Daud dan Tirmizi dan dia mengatakan bahawa ini adalah hadis hasan)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.: “Berilah wasiat kepadaku.” Rasulullah s.a.w. bersabda: Jangan marah.” Orang itu mengulanginya berkali-kali tetapi baginda tetap bersabda: “Janganlah marah.” (H.R. Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mukmin baik lelaki mahupun perempuan sentiasa mendapatkan cubaan, sama ada terhadap dirinya, anaknya mahupun hartanya, sehingga dia mengadap Allah Ta ‘ala tanpa membawa dosa.” (H.R Tirmizi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih)

Dari Abu Abbas r.a. berkata: “Ketika Uyainah bin Hishn datang, dia menginap di tempat anak saudaranya Al Hurr bin Qais. Dia termasuk orang yang dekat dengan Umar r.a. kerana Umar memang mengangkat mereka yang pandai dalam Al-Quran sebagai kawan duduk dan kawan bermusyawarah, baik tua mahupun muda. Uyainah berkata kepada anak saudaranya: “Wahai anak saudaraku, kamu adalah orang yang dekat dengan Amirul Mukminin maka mintakan izin agar saya dapat menghadap kepadanya.

Kemudian anak saudaranya itu meminta izin, maka Umar pun mengizinkannya. Ketika Uyainah masuk dia berkata: “Wahai putera Al-Khattab, demi Allah engkau tidak akan berbuat banyak terhadap kami dan engkau tidak adil dalam mengadili kami.” Maka marahlah Umar hampir sahaja dia dipukulnya. Kemudian Al-Hurr berkata kepada Umar: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah Ta ‘ala telah berfirman kepada Nabinya: “Berikanlah maaf, dan suruhlah untuk berbuat baik serta janganlah engkau hiraukan mereka yang bodoh.” (Al-A ‘raf:198) Dan sesungguhnya oranng ini adalah termasuk orang yang bodoh. Demi Allah ketika ayat itu dibaca Umar bersikap seakan-akan belum pernah mendengarnya padahal Umar adalah orang yang sangat teliti terhadap kitab Allah Ta ‘ala.” (H.R Bukhari)

Dari Ibnu Mas ‘ud r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya nanti sepeninggalku akan ada orang yang hanya mementingkan dirinya sendiri dan ada pula perkara-perkara yang diingkarinya.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau perintahkan kepada kami?” Baginda menjawab: “Kamu harus menyampaikan kebenaran yang kamu ketahui dan kamu hendaklah bermohon kepada Allah agar mendapatkan hak kamu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu YaHYA Usaid bin Hudhair r.a. bahawa ada seorang lelaki Anshar berkata: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak mempekerjakan saya sebagaimana engkau telah mempekerjakan si Polan?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya sepeninggalku nanti kamu akan mendapatkan orang yang suka mementingkan diri sendiri maka bersabarlah kamu sampai nanti bertemu denganku di dekat telaga Kautsar.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Ibrahim bin Abu Aufa r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pada suatu hari dimana baginda menanti kedatangan musuh sehingga matahari tergelincir maka bangkitlah baginda di tengah-tengah para sahabat seraya bersabda: “Wahai sekalian manusia, janganlah kamu sekalian mengharap-harapkan berhadapan dengan musuh dan mohonlah keselamatan kepada Allah. Apabila kamu sekalian berhadapan dengan mereka maka bersabarlah, dan ketahuilah bahawa syurga itu berada di bawah naungan pedang.”

Kemudian Nabi s.a.w. berdoa: “Wahai Allah Zat yang menurunkan kitab, Zat yang menjalankan awan dan Zat yang mengalahkan musuh, kalahkanlah mereka dan tolonglah kami untuk mengalahkan mereka.” (Muttafaqun ‘alaih)

Ya Allah Ya Rahman, Tuhan Yang Maha Mengasihi HambaNya tanpa batasan, jadikanlah kami ini redha pada ketentuanMu akan perkara yang Engkau lebih Mengetahui, Ya Karim Ya Mujibb, yakinkanlah hati kami akan ketentuanMu akan lebih baik dari perancangan kami, Sesungguhnya Engkau Maha Bijaksana, Maha Halus lagi Maha Mendalam pengetahuanMu,setelah Engkau redha akan kami maka jadikanlah kami ini dalam kalangan orang yang bersabar akan pengujianMu,serta berikanlah pahala bagi kami akan apa-apa musibah yang menimpa kami,Sesungguhnya Engkau sebaik-baiknya Penghibur bagi hati yang menangis; Ya Rabb….Ya Allah…Ya Allah………. …Ya Allah…jadikanlah kami ini tidak berputus asa akan rahmat KurniaanMu..sesungguhnya kehidupan ini..nikmat yang kami kecapi kini hanyalah kurniaanMu semata-mata…dan jadikanlah kami hambaMu yang mensyukuri nikmat sajianMu keatas kami..faqihkanlah kami dalam mengenali petanda-petandaMu agar kami sentiasa berwaspada padaMu..dan ampunkanlah kefakiran kami..Engkau sahaja Yang Maha Kaya..perkayakanlah kami dengan ilmu yang dapat menegakkan kalimahMu..jangan tinggalkan kami walaupun sekelip mata..kami tidak mampu tanpa izinMu..kami lemah tanpa petunjukMu..kami sesat tanpa HidayahMu; jangan pula Engkau biarkan musuh-musuhMu menawani kami…kami serahkan diri kami kepadaMu.segala pengharapan,ketaatsetiaan, pengabdian hanya kepadaMu Ya Allah..Zat Yang Maha Hidup..Yang Awal dan Yang Akhir…Kami bersaksi tidak ada yang diletakkan pengabdian, kebesaran, pergantungan, ketaatsetiaan melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruhMu..Ameen Ya Rabb..


No comments:

Post a Comment

org sayang kat aku